Saturday, November 28, 2015

KISAH HAIWAN

PERSAHABATAN DAN PENGKHIANATAN

Di dalam sebuah rimba, tinggal sekumpulan haiwan yang pelbagai. Haiwan-haiwan tersebut terdiri daripada Sang Harimau yang merupakan penghulu di rimba tersebut dan anak-anak buahnya yang lain seperti Sang Arnab, Sang Zirafah, Sang Musang dan Sang Beruang. Sang Arnab, Sang Zirafah dan Sang Beruang merupakan sahabat baik sejak dari kecil lagi. Apabila mereka meningkat dewasa, Sang Arnab merupakan antara haiwan yang sungguh jelita di rimba itu. Kecantikan Sang Arnab telah menimbulkan rasa kurang senang si Sang Zirafah dan Sang Beruang. Pada suatu hari, Sang Arnab bersiar-siar di taman bunga, tanpa disedari Sang Arnab, si Sang Zirafah dan Sang Beruang mengekorinya. Dalam pada masa yang sama Sang Zirafah telah merancang satu rancangan jahat bersama dengan Sang Beruang untuk membunuh Sang Arnab. 

"Indahnya hari ini. Udara yang nyaman. Alangkah indah jikalau dapat bersia-siar begini selalu," kata Sang Arnab bersendirian.

Di sebalik semak samun di taman bunga itu, kelihatan Sang Beruang dan Sang Zirafah sedang memerhatikan Sang Arnab.

"Lihatlah si Sang Arnab itu. Bangga benar dia punya wajah yang cantik dan digilai haiwan di rimba ini," tutur Sang Zirafah.

"Iyalah, Sang Arnab punya wajah yang menawan. Tidak seperti kamu wahai Sang Zirafah, leher pun jinjang sampai aku sendiri tidak tahu di mana letaknya tekak kamu," balas si Sang Beruang disusuli dengan tawa kecilnya.

"Amboi, sedap kamu berkata-kata tentang aku ya. Aku tidak peduli. Aku mesti musnahkan si Sang Arnab itu," jerit Sang Zirafah.

Jeritan Sang Zirafah itu telah mengejutkan Sang Arnab. Lalu Sang Arnab pun mencari arah punca suara tersebut dan akhirnya dia menjumpai Sang Zirafah dan Sang Beruang di sebalik semak.

"Sang Zirafah rupanya. Apa kamu buat di sini wahai sahabatku?" soal Sang Arnab.

"Aku tidak lakukan apa-apa. Kami hanya ingin mengambil angin sahaja, tidak begitu wahai Sang Beruang?" balas si Sang Zirafah.

Lalu, dengan terkebil-kebilnya Sang Beruang menjawab, "Ya, kami hanya bersiar-siar di sini untuk mengambil angin."

"Aku berasa lapar. Mari kita makan bersama-sama," ajak si Sang Arnab.

"Tidak mengapa, kamu pergilah dahulu, kami akan menyusul kemudian," balas si Sangg Zirafah.

Sang Arnab pun berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.

"Sang Beruang, ini merupakan peluang terbaik untuk kita musnahkan Sang Arnab. Aku akan letakkan racun dalam makanannya. Kau harus mengawal keadaan," ujar si Sang Zirafah dengan angkuhnya.

"Baiklah Sang Zirafah. Aku akan ikut segala perancangan yang telah kita rancang sebelum ini," balas Sang Beruang.

Tanpa mereka sedari, perbualan mereka itu telah didengari oleh Sang Musang di sebalik semak samun itu. Sang Musang amat terkejut dengan perancangan mereka. Sang Musang mengambil keputusan untuk melaporkan berita tersebut kepada Sang Harimau iaitu ketua di rimba tersebut.

"Aku harus melaporkan mengenai perkara ini kepada Tok Penghulu sebelum perkara menjadi lebih teruk," kata si Sang Musang.

Lalu Sang Musang pun berlalu pergi ke arah rumah Sang Harimau ketuanya.

Sementara di rumah Sang Harimau,

"Tok Rimau, saya tidak bercakap bohong. Saya dengar dengan jelas tentang perancagan mereka untuk meletakkan racun ke dalam makanan Sang Arnab," tuturnya kepada Sang Harimau.

"Benarkah semua ini? Katakan kepada ku ini semua hanya dusta belaka," balas Sang Harimau.

"Benar Tok, saya tidak akan menipu mengenai perkara serius seperti ini. Ini melibatkan nyawa," balas Sang Musang.

"Baiklah, jika begitu mari kita pergi halang perbuatan mereka berdua," arah Sang Harimau.

Ketika Sang Arnab asyik leka bermain di taman, Sang Zirafah dan Sang Beruang telah memasukkan racun ke dalam makanan Sang Arnab tanpa pengetahuannya.

Tiba-tiba..

"Zirafah! Beruang! Apa yang sedang kamu lakukan itu??" pekik Sang Harimau.

Sang Zirafah dan Sang Beruang yang terkejut diam tidak berkata apa-apa. Riak wajah mereka kelihatan pucat. Sang Arnab menuju ke arah mereka dan bertanyakan kepada Sang Harimay mengenai apa yang sedang berlaku.

"Wahai Sang Arnab, mereka berdua ini sedang cuba untuk membunuh kamu. Mereka telah meletakkan racun ke dalam makanan kamu supaya kamu mati selepas ini," jelas Sang Harimau.

Sang Arnab yang begitu terkejut dengan perbuatan rakan karibnya terus mengalirkan air matanya.

"Aku tidak sangka kau sanggup mengkhianati aku wahai Sang Zirafah, Sang Beruang. Kita berkawan sejak dari kecil lagi. Mengapa kamu sanggup ingin membunuhku?" tutur Sang Arnab.

Sang Zirafah dan Sang Beruang hanya membatukan diri mereka. Kelihatan riak menyesal pada muka mereka.

"Wahai Sang Zirafah, Sang Beruang, tidak baik kamu bermusuhan sesama kamu. Berbaiklah kamu semula. Sayangilah persahabatan ini. Setiap ciptaan ada kelebihan masing-masing. Tidak perlulah kamu berasa dengki terhadap satu sama lain," jelas Sang Harimau.

Sang Zirafah dan Sang Beruang amat menyesal dengan perbuatan mereka. Lalu mereka pun meminta maaf kepada Sang Arnab.

"Wahai Sang Arnab, maafkan kami. Kami bersalah dalam hal ini. Kami berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi," mohon si Sang Zirafah.

"Tidak mengapalah Sang Zirafah. Aku telah memaafkan kamu," balas Sang Arnab.

Lalu mereka pun  berpelukan antara satu sama lain.

Saturday, November 21, 2015

GELANDANGAN (Isu Kemanusiaan)

Golongan gelandangan atau dikenali juga sebagai "homeless" ialah individu yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan tempat berteduh yang tidak mencukupi untuk mereka berteduh pada waktu malam. Selain itu, gelandangan juga merujuk kepada individu yang menetap di kediaman yang sementara di mana kediaman tersebut disediakan oleh organisasi tertentu sama ada awam atau swasta. Malaysia mempunyai Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) yang diperuntukkan untuk menjaga dan memulihkan individu yang papa serta mengawal kutu rayau yang terdapat di negara ini. Berdasarkan akta tersebut, individu papa ini turut dikesan menjalankan aktiviti mengemis di tempat awam. Hal ini mampu mengundang kebimbangan dalam kalangan orang awam apabila terlalu ramai golongan yang mengemis dan menyebabkan orang awam berasa kurang selesa dengan persekitaran mereka. Golongan gelandangan ini kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas dan rata-rata mereka adalah kaum lelaki. Lebih membimbangkan apabila semakin hari, bilangan gelandangan ini semakin bertambah dan ini boleh mengakibatkan pemandangan yang buruk bagi para pelancong luar yang datang ke Malaysia. Justeru, terdapat beberapa punca mengapa individu tersebut menjadi gelandangan dan disertakan juga beberapa langkah menangani masalah ini.

  Punca utama mereka menjadi gelandangan adalah disebabkan pendapatan mereka yang rendah. Berdasarkan kajian "Homeless in Malaysia: Policy Sheet", didapati bahawa seramai 1/5 daripada golongan gelandangan ini memilih untuk bergelandang disebabkan pendapatan yang mereka peroleh dalam sektor pekerjaan adalah rendah. Masalah ini mengakibatkan mereka tidak mempunyai kewangan yang stabil untuk menyara kehidupan mereka. Hal ini demikian kerana Dasar Gaji Minimum di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM900. Tambahan pula, kos sara hidup kini semakin meningkat dan ini mengakibatkan mereka menjadi gelandangan kerana tidak mampu untuk menyara hidup mereka dan keluarga. Kajian mendapati bilangan golongan gelandangan di bandar adalah lebih tinggi berbanding di luar bandar. Kesempitan hidup memaksa mereka menjadi begini.

  Seterusnya, punca yang mengakibatkan individu itu menjadi gelandangan adalah disebabkan oleh penyakit kronik. Kajian mendapati bahawa sebanyak 15%-30% daripada golongan tersebut menghidap penyakit kronik. Mereka tidak mempunyai kesedaran tentang penyakit yang dihadapi mereka. Hal ini mengakibatkan keadaan mereka tidak terurus. Bukan itu sahaja, 1/5 daripada mereka pula menghidap masalah mental. Punca utama mereka mengalami masalah mental pula adalah disebabkan tekanan hidup yang dilalui mereka seperti jatuh muflis dalam perniagaan. Lebih memilukan apabila terdapat golongan ini yang dibuang keluarga kerana tidak sanggup menjaga mereka yang mempunyai masalah mental. Selain itu, golongan gelandangan ini juga terdiri daripada penagih dadah. Kebanyakan mereka berteduh di kaki lima, bawah jambatan dan sebagainya. Sepatutnya, golongan seperti ini harus diberi bantuan dari segi rawatan pemulihan supaya dapat memulihkan semula keadaan kesihatan mereka agar mereka dapat melakukan aktiviti sosial seperti masyarakat lain.

    Antara langkah untuk mengatasi masalah ini ialah membuka pusat perlindungan bagi melindungi golongan tersebut. Melalui cara ini, golongan gelandangan akan dilindungi serta dijaga kebajikan mereka. Hal ini demikian kerana, golongan ini merupakan golongan yang tidak bernasib  baik. Apabila wujudnya pusat perlindungan tersebut, segala kebajikan mereka seperti makan minum, pakaian dan kesihatan akan dijaga. Tidak semua gelandangan mempunyai kesihatan yang baik. Justeru, mereka memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi. Pusat penjagaan itu akan menjadi rumah kedua mereka. Selain dapat memulihkan mereka, peratus gelandangan yang terbiar di kota-kota besar dan tempat awam akan berkurangan. Golongan seperti mereka harus diberi semangat semula agar mereka dapat dapat membantu negara dalam memacu wawasan negara.

    Selain itu, langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah gelandangan ialah mengadakan program keusahawanan dan sosial bagi golongan gelandangan. Kebanyakan mereka tidak mempunyai peluang dalam sektor pekerjaan. Oleh itu, dengan adanya program sebegini dapat menyuntik semangat baru untuk memulakan kehidupan baru mereka. Melalaui program tersebut, mereka akan mendapat peluang untuk menceburi bidang keusahawanan. Justeru, mereka dapat menyumbang kepada ekonomi negara selain dapat menampung kehidupan mereka apabila terlibat secara serius dalam sektor keusahawanan kelak. Bukan itu sahaja, penuntut pengajian tinggi juga boleh menyumbangkan tenaga mereka seperti berkongsi pengetahuan bersama golongan ini tentang bidang keusahawanan agar dapat membuka mata mereka agar tidak mensia-siakan peluang yang hadir di depan mata mereka. 

   Kesimpulannya, sebagai masyarakat mereka kita harus membantu organisasi-organisasi yang terlibat dalam menangani masalah ini. Hal ini demikian kerana, sekiranya masalah ini berlarutan akan mencemarkan industri pelancongan negara. Ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara daripada berkembang dengan pesat. Langkah yang bijak harus diambil dari sekarang supaya masalah ini tidak menjadi lebih kritikal pada masa akan datang nanti.

KESAN KEDATANGAN PEKERJA ASING TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Pengenalan

Pekerja asing didefinisikan sebagai tenaga kerja dari luar negara atau dikenali juga sebagai buruh asing yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Kebiasaannya pekerja asing datang ke negara ini adalah untuk memenuhi ruang pekerjaan yang tidak diisi oleh rakyat tempatan. Antara sektor yang menjadi tumpuan pekerja asing ialah sektor pembinaan, perkhidmatan dan perindustrian. Ibarat kata pepatah, di mana ada semut, di situ ada gula. 

Kesan

1mempercepatkan proses pembangunan negara

  • Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun
  • Pelbagai perubahan dilakukan secara menyeluruh khususnya dalam pembinaan infrastruktur dan prasarana yang sitematik
  • lebuhraya Pan Borneo yang dibina memerlukan tenaga kerja asing
2.  berlaku pertukaran teknologi
  • Malaysia memerlukan teknologi yang canggih dan moden untuk menjadikan negara ini setanding dengan negara membangun yang lain
  • Kedatangan pekerja asing contohnya tenaga buruh mahir dan separuh mahir ke Malaysia membolehkan pekerja tempatan mempelajari dan memperoleh teknologi baru
  • pertukaran idea dan maklumat antara para saintis tentang vaksin
3. meningkatkan kadar jenayah
  • tidak semua daripada mereka mendapat upah yang mencukupi
  • Kesempitan hidup di negara orang mendesak mereka untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang
  • Kegiatan jenayah yang semakin serius ini mendatangkan kerisauan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda
Penutup

kedatangan pekerja asing memberikan kesan positif dan negatif kepada masyarakat dan negara. Kedatangan mereka ini tidak boleh disekat lagi disebabkan atas faktor-faktor yang tertentu. Pihak kerajaan perlu memainkan peranan mereka dengan menguatkuasakan undang-undang agar keselamatan masyarakat dan keamanan negara kita terjamin daripada sebarang jenayah disebabkan oleh pekerja asing.