Saturday, November 21, 2015

GELANDANGAN (Isu Kemanusiaan)

Golongan gelandangan atau dikenali juga sebagai "homeless" ialah individu yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan tempat berteduh yang tidak mencukupi untuk mereka berteduh pada waktu malam. Selain itu, gelandangan juga merujuk kepada individu yang menetap di kediaman yang sementara di mana kediaman tersebut disediakan oleh organisasi tertentu sama ada awam atau swasta. Malaysia mempunyai Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) yang diperuntukkan untuk menjaga dan memulihkan individu yang papa serta mengawal kutu rayau yang terdapat di negara ini. Berdasarkan akta tersebut, individu papa ini turut dikesan menjalankan aktiviti mengemis di tempat awam. Hal ini mampu mengundang kebimbangan dalam kalangan orang awam apabila terlalu ramai golongan yang mengemis dan menyebabkan orang awam berasa kurang selesa dengan persekitaran mereka. Golongan gelandangan ini kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas dan rata-rata mereka adalah kaum lelaki. Lebih membimbangkan apabila semakin hari, bilangan gelandangan ini semakin bertambah dan ini boleh mengakibatkan pemandangan yang buruk bagi para pelancong luar yang datang ke Malaysia. Justeru, terdapat beberapa punca mengapa individu tersebut menjadi gelandangan dan disertakan juga beberapa langkah menangani masalah ini.

  Punca utama mereka menjadi gelandangan adalah disebabkan pendapatan mereka yang rendah. Berdasarkan kajian "Homeless in Malaysia: Policy Sheet", didapati bahawa seramai 1/5 daripada golongan gelandangan ini memilih untuk bergelandang disebabkan pendapatan yang mereka peroleh dalam sektor pekerjaan adalah rendah. Masalah ini mengakibatkan mereka tidak mempunyai kewangan yang stabil untuk menyara kehidupan mereka. Hal ini demikian kerana Dasar Gaji Minimum di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM900. Tambahan pula, kos sara hidup kini semakin meningkat dan ini mengakibatkan mereka menjadi gelandangan kerana tidak mampu untuk menyara hidup mereka dan keluarga. Kajian mendapati bilangan golongan gelandangan di bandar adalah lebih tinggi berbanding di luar bandar. Kesempitan hidup memaksa mereka menjadi begini.

  Seterusnya, punca yang mengakibatkan individu itu menjadi gelandangan adalah disebabkan oleh penyakit kronik. Kajian mendapati bahawa sebanyak 15%-30% daripada golongan tersebut menghidap penyakit kronik. Mereka tidak mempunyai kesedaran tentang penyakit yang dihadapi mereka. Hal ini mengakibatkan keadaan mereka tidak terurus. Bukan itu sahaja, 1/5 daripada mereka pula menghidap masalah mental. Punca utama mereka mengalami masalah mental pula adalah disebabkan tekanan hidup yang dilalui mereka seperti jatuh muflis dalam perniagaan. Lebih memilukan apabila terdapat golongan ini yang dibuang keluarga kerana tidak sanggup menjaga mereka yang mempunyai masalah mental. Selain itu, golongan gelandangan ini juga terdiri daripada penagih dadah. Kebanyakan mereka berteduh di kaki lima, bawah jambatan dan sebagainya. Sepatutnya, golongan seperti ini harus diberi bantuan dari segi rawatan pemulihan supaya dapat memulihkan semula keadaan kesihatan mereka agar mereka dapat melakukan aktiviti sosial seperti masyarakat lain.

    Antara langkah untuk mengatasi masalah ini ialah membuka pusat perlindungan bagi melindungi golongan tersebut. Melalui cara ini, golongan gelandangan akan dilindungi serta dijaga kebajikan mereka. Hal ini demikian kerana, golongan ini merupakan golongan yang tidak bernasib  baik. Apabila wujudnya pusat perlindungan tersebut, segala kebajikan mereka seperti makan minum, pakaian dan kesihatan akan dijaga. Tidak semua gelandangan mempunyai kesihatan yang baik. Justeru, mereka memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi. Pusat penjagaan itu akan menjadi rumah kedua mereka. Selain dapat memulihkan mereka, peratus gelandangan yang terbiar di kota-kota besar dan tempat awam akan berkurangan. Golongan seperti mereka harus diberi semangat semula agar mereka dapat dapat membantu negara dalam memacu wawasan negara.

    Selain itu, langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah gelandangan ialah mengadakan program keusahawanan dan sosial bagi golongan gelandangan. Kebanyakan mereka tidak mempunyai peluang dalam sektor pekerjaan. Oleh itu, dengan adanya program sebegini dapat menyuntik semangat baru untuk memulakan kehidupan baru mereka. Melalaui program tersebut, mereka akan mendapat peluang untuk menceburi bidang keusahawanan. Justeru, mereka dapat menyumbang kepada ekonomi negara selain dapat menampung kehidupan mereka apabila terlibat secara serius dalam sektor keusahawanan kelak. Bukan itu sahaja, penuntut pengajian tinggi juga boleh menyumbangkan tenaga mereka seperti berkongsi pengetahuan bersama golongan ini tentang bidang keusahawanan agar dapat membuka mata mereka agar tidak mensia-siakan peluang yang hadir di depan mata mereka. 

   Kesimpulannya, sebagai masyarakat mereka kita harus membantu organisasi-organisasi yang terlibat dalam menangani masalah ini. Hal ini demikian kerana, sekiranya masalah ini berlarutan akan mencemarkan industri pelancongan negara. Ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara daripada berkembang dengan pesat. Langkah yang bijak harus diambil dari sekarang supaya masalah ini tidak menjadi lebih kritikal pada masa akan datang nanti.

No comments:

Post a Comment