Saturday, December 5, 2015

ISU SEMASA

PUNCA-PUNCA DAN KESAN-KESAN JEREBU DI MALAYSIA.

Jerebu adalah satu fenomena yang terjadi apabila atmosfera dipenuhi dengan debu, habuk, asap dan lain-lain zarah sehingga mencemarkan penglihatan untuk melihat kejelasan langit (Muhammad Alexander, 2010). Fenomena jerebu ini biasanya terjadi apabila zarah, debu, dan asap berkumpul di paras rendah atmosfera. Jerebu juga dikenali sebagai situasi dimana peningkatan bahan terampai dalam atmosfera melebihi dua kali ganda jumlah yang berkeadaan normal mengikut Indeks Pencemaran Udara (IPU). Jerebu buat pertama kalinya muncul dan menggangu kehidupan seharian rakyat Malaysia adalah pada April 1983. Pada ketika itu, punca jerebu masih tidak diketahui dan beberapa andaian dibuat oleh masyarakat tempatan seperti abu terapung dari letusan gunung berapi, zarah asap terapung dari hutan yang dibakar secara besar-besaran, pembakaran pertanian terbuka di negara jiran, dan juga pembakaran pertanian oleh rakyat tempatan. Gangguan ini berterusan pada Ogos 1990, seterusnya daripada bulan Jun sehingga bulan Oktober 1991, dan berulang setiap tahun sejak 1992. Jerebu biasanya akan melanda negara kita pada bulan Ogos, September, dan Oktober.
Salah satu punca utama masalah jerebu adalah pembakaran hutan secara besar-besaran dan pembakaran sampah secara terbuka oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah dibakar berterbangan di atmosfera maka berlakulah jerebu. Kesannya, kualiti udara di negara ini menjadi semakin tercemar dan pada masa yang sama Indeks Pencemaran Udara di negara kita akan meningkat ke paras yang bahaya ibarat telur di hujung tanduk. Pembakaran sampah secara terbuka dan tanpa kawalan juga menyebabkan jerebu menjadi semakin serius. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sampah sarap dengan mengambil jalan singkat tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar dan manusia di sekeliling mereka. Mereka terlalu malas untuk membuang sampah ke tempat pembuangan sampah atau ke pusat pengitaran sampah.
Selain daripada pembakaran terbuka, jerebu juga berlaku kerana pengeluaran asap daripada kilang di kawasan perindustrian yang tidak terkawal. Kegiatan industri yang tidak terkawal turut menjadi punca utama kepada masalah jerebu di negara kita. Hal ini berlaku kerana ekonomi negara kita turut bergantung pada bidang perindustrian untuk mengaut keuntungan demi kemajuan negara. Namun, sikap sesetengah pengusaha yang mengamalkan sikap seperti enau melepaskan pucuk masing-masing dalam mengusahakan kilang menyebabkan kualiti udara di sekeliling semakin tercemar kerana aap-asap dilepaskan dalam kualiti yang banyak ke udara. Mereka tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk mendapatkan alat penapisan asap bagi menapis asap yang dikeluarkan oleh kilang masing-masing sedangkan mereka mengetahui bahawa asap yang dikeluarkan mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh menyebabkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan akan memburukkan lagi keadaan jerebu di negara kita.
Peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya turut menjadi salah satu punca berlakunya masalah jerebu di negara kita. Saban tahun, jumlah kenderaan yang digunakan oleh penduduk di negara kita semakin meningkat umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Fenomena ini menyebabkan kuantiti gas pencemar seperti karbon monoksida dan sodium dioksida meningkat. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dilepaskan ke atmosfera sepenuhnya tetapi sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi dan kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera sehingga tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Jadi, keadaan ini menyebabkan udara menjadi semakin tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Jerebu yang berlaku memberikan kesan yang sangat buruk kepada seseorang individu terutamanya dari segi kesihatan. Golongan kanak-kanak dan golongan warga emas merupakan golongan yang mudah jatuh sakit apabila jerebu melanda negara kita. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi semakin lemah dan imunisasi menjadi semakin rendah. Penyakit seperti selesema dan batuk kering akan mudah merebak dalam kalangan masyarakat. . misalnya, pesakit asma dan pesakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula dengan kualiti udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan menjadi terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan mengalami sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata, dan demam. Oleh itu, jelaslah bahawa masalah jerebu akan memberikan kesan yang sangat buruk kepada kesihatan orang ramai.
Kesan negatif yang kedua daripada masalah jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang biasanya sejauh dua kilometer menjadi 50 meter sahaja. Kualiti udara yang terjejas akan menyebabkan masyarakat tidak dapat keluar untuk melakukan aktiviti harian seperti biasa. Masyarakat juga akan dinasihatkan agar memakai topeng muka bagi mencegah daripada menghirup udara yang tidak berkualiti dan terjejas disebabkan jerebu. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jerebu memberikan kesan yang sangat buruk kepada kualiti udara di negara kita.
Selain kemerosotan kualiti udara, sektor ekonomi di negara kita turutakan terjejas akibat jerebu yang berlaku. Tahap penglihatan yang terhad akibat ketebalan jerebu menyebabkan aktiviti luar disekat  dan aktiviti perikanan dan pertanian terpaksa diberhentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan para pekerja. Rakyat Malaysia yang mencari rezeki dalam sektor perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Selain sektor perikanan dan pertanian, sektor pelancongan turut terjejas akibat masalah jerebu. Para pelancong bukan sahaja dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka apabila melancong ke Malaysia. Jadi dapat kita perhatikan bahawa secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.

Sebagai kesimpulan, jerebu merupakan satu fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang berlaku dan disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan keadaan jerebu menjadi buruk berbanding dengan fenomena jerebu yang berlaku dan disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak seharusnya akur dengan arus yang songsang ini kerana ia akan menyebabkan kualiti kehidupan seharian kita menjadi semakin menurun. Rakyat Malaysia harus berganding bahu dalam menangani masalah jerebu melalui langkah-langkah yang efektif sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi baharu akan ketandusan nilai murni iaitu cinta akan alam sekitar. Tidak ada gunanya sekiranya kita terlambat dalam meratapi kehilangan kualiti bumi yang bersih nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.


1 comment:

  1. How to Play Baccarat in Las Vegas - WURRIE
    Learn to play Baccarat online at WURRIE Las 카지노사이트 Vegas. Baccarat Basics, Rules and Tips; How 바카라 to Play Baccarat for Beginners deccasino

    ReplyDelete